Assalamualaikum wr wb Semua,
Di sini, aktiviti menebang dan membelah kayu aktif sekali. Setiap kampung ada pemain pemain khusus di dalam "industri mini balak" ini. Mereka memang sepenuh masa mengambil upah menebang kayu balak dan membelahnya.
Semasa membelah kayu di ladang serai kami, si tukang pembelah kayu atau lebih dikenali dengan nama Jiko, telah terlihat sebatang kayu balak di dalam kebun getah bersebelahan kebun kami. Pokoknya tinggi melebihi ketinggian pokok getah. Nama panggilan pokok itu ialah "kuin" atau dalam bahasa melayu rasmi disebut "keruing". Kuin ada 7 jenis. Yang ini jenis yang terbaik. Kayu kuin bergetah. Lantas ia lebih baik dari kayu cengal. Paku bisa bengkok jika diketuk di atasnya. Tahan panas dan tahan basah kerana sifatnya yang bergetah.
Harga kayu kuin ini ialah RM2200 1 tan. Sebatang pokok ini lebih kurang hampir 3 tan. Jiko telah mencadangkan kepada Pak Mat agar berjumpa tuan kebun tersebut dan membelinya. Pak Mat telah berjumpa dengan tuan kebun dan meminta untuk membeli pokok kayu itu. Dia bersetuju menjualnya dengan harga RM300. Pokok kuin ini telah dikorbankan hari ini. Jiko akan mengambil masa dalam seminggu lebih untuk membelah kayu tersebut mengikut ukuran ukuran standard untuk membuat rumah. Menurut Jiko, sebatang kayu kuin itu memang cukup untuk keperluan membina sebuah rumah.
Selepas menebang pokok balak tersebut, Jiko telah kembali ke markas membelah beliau di atas salah sebuah bukit yang berhampiran. Beliau akan kembali semula untuk memulakan kerja kerja mengerat dan membelah. Kos membeli kayu untuk membuat rumah memang boleh dikurangkan di sini dengan cara membeli kayu kayu balak yang baik di dalam mana mana kebun jiran dan upah tukang belah untuk membelah. Kualitinya sama dengan yang dibelah oleh mesin di kilang "saw - mill".
Jiko berumur 26 tahun. Belajar (menurun ilmu membelah kayu) dari ayahnya. Pinggir hutan terus menjadi sumber ekonomi kepada penduduk tempatan. Kayu, gaharu, damar, ikan, emas, tenggiling mahupun harimau, semua direbut sebaik mungkin oleh mereka.
Stok Anak Benih Ikan Kelah Kembali Lagi @ 2020
4 years ago
No comments:
Post a Comment